25 September 2014

Tips Menjadi Popular di Internet : Irfan Khairi

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Semua.....

Siapa yang tak kenal dengan Irfan Khairi kan? Saya adalah salah seorang 'follower' Irfan Khairi. Memang suka baca info2 yang beliau beri. Banyak sangat tips tentang perniagaan internet yang beliau kongsikan. Saya sampai beli buku dia yang bertajuk Nota Jutawan ni. 

Buku ni senang faham sebab ada gambar-gambar. Suka beli buku yang ada gambar dari penulisan semata-mata.. Sebab saya ni jenis cepat mengantuk kalau baca buku. hehe.. Kalau ada gambar xder lah bosan sangat. Dah macam budak-budak plak kan ('',)

Sebenarnya nak kongsikan tips nak menjadi popular di internet. Saya jumpa ni kat blog Irfan Khairi. Jadi saya simpan kat blog saya untuk rujukan masa akan datang. Bak kata mentor saya MamaFaiz, anggaplah blog kita ni macam backup nota kita. Apa-apa info yang kita dapat kalau rasa sangat perlu untuk di simpan pada masa akan datang silalah simpan di blog... Tu sekarang dah terrajin update blog. Menyahut cabaran..hehe... Dalam kehidupan ni perlu ada cabaran kan? Kalau tak der tu yang diri tak kemana-mana. Duk takuk tu jer. Nak jadi insan luar biasa, nak jadi insan yang lebih memberi manfaat pada orang kena berani hadapi cabaran. Oklah, dah banyak membebel ni. Jom kita baca tips dari Irfan Khairi ni.

TIPS MENJADI POPULAR DI INTERNET


Ingin jadi popular di Internet? Anda mungkin ada tujuan dan matlamat tersendiri untuk jadi popular, sama ada kerana minat, impian ataupun untuk bisnes. Tidak kira apa jenis tujuannya, yang penting anda harus melakukannya dengan cara yang betul dan terancang. Jika tidak, anda mungkin akan mengalami kerugian ataupun krisis yang tidak diundang.

Apabila kita berbicara mengenai menjadi popular di Internet, ia bermaksud hanya di Internet. Peminat-peminat dan pengikut anda akan menyebut nama anda dan mengikuti diri anda hanya secara online. Namun tidak dinafikan, ia mungkin akan berterusan di dunia ‘offline’ juga di mana anda mungkin dijemput oleh pihak media, mengadakan program tertentu, disapa oleh peminat dan sebagainya.

Sebelum anda melakukan usaha-usaha untuk menjadi popular, anda harus jelas dengan matlamat anda dan merancang apakah yang anda mahu lakukan dengan kepopularan anda itu nanti. Jika tidak, anda hanya sekadar popular, tetapi anda tidak menghasilkan apa-apa manfaat untuk jangka masa yang lama.

Selain daripada itu, anda juga harus merancang tindakan yang anda harus lakukan secara konsisten agar anda tidak mudah tenggelam kerana selain daripada anda, berjuta lagi manusia lain juga berusaha untuk popular seperti anda.

Terdapat banyak cara untuk kita menjadi terkenal di Internet. 
Berikut adalah 7 Tip dan ‘ACTIONS’ yang boleh anda lakukan.

TIP 1 : Miliki sebuah blog

Ini adalah langkah pertama yang wajib. Anda boleh menggunakan sistem blog yang percuma seperti Blogger.com dan WordPress.com. Namun jika anda benar-benar serius, anda boleh hasilkan sebuah blog dot com anda sendiri yang terus menggunakan nama anda seperti mana yang dilakukan oleh jutawan Internet Irfan Khairi melalui blognya, iaitu www.IrfanKhairi.com.

Sebaiknya anda menggunakan nama anda untuk nama blog kerana matlamat anda sekarang adalah untuk mempopularkan diri anda. Pada blog anda itu, letakkan sedikit biodata diri anda dan juga gambar anda (jika mahu).

Setelah anda mempunyai sebuah blog, anda boleh mula menulis. Anda boleh menulis apa sahaja perkara yang umum ataupun anda boleh memfokus kepada topik-topik yangspesifik sahaja. Sebagai contoh, Irfan Khairi menulis mengenai bisnes, perniagaan Internet dan motivasi. Bermaksud, beliau akan terkenal dalam kalangan orang yang meminati topik-topik tersebut.

Jika anda menulis pelbagai topik tanpa fokus, anda mungkin akan dikenali oleh sesiapa sahaja sebagai seorang yang popular di Internet.Tidak kisah apa saja topik, anda tulislah sesuatu yang memberi manfaat kepada pembaca.

TIP 2 : Facebook

Mungkin anda sudah mempunyai akaun Facebook, iaitu sebuah profile sendiri. Jika anda ingin popular di Internet, menggunakan profile Facebook adalah tidak sesuai, sebaliknya anda perlu menggunakan Facebook Page. Dengan menggunakan Facebook Page, lebih ramai orang dapat mengikuti perkembangan anda dan ia lebih meluas.

Sama seperti blog, anda perlu kongsikan perkara-perkara yang bermanfaat kepada pengikut anda di Facebook. Pelbagaikan bentuk gaya penyampaian seperti serius, kelakar, santai dan sebagainya agar pengikut anda tidak bosan. Gunakan juga imej dan juga video selain sekadar menulis teks sahaja.

Setelah anda membina Page anda sendiri, promosikan ia di blog anda agar lebih ramai orang yang akan menyertai Page anda tersebut. Kelebihan menggunakan Facebook Page adalah, pengikut dan peminat anda dapat promosikan Page itu kepada orang lain dengan lebih mudah tanpa sebarang halangan.

TIP 3: Youtube

Selain membaca, pengguna Internet juga suka menonton video. Salah satu laman web yang mempunyai rating yang tinggi adalah Youtube.com. Jika anda memuat naik video yang menarik di sana, video anda akan cepat tersebar di dunia online sama ada diFacebook, blog, website, forum dan sebagainya. Malah, video anda akan mula menjadi buah mulut orang lain.

Sudah ramai pengguna Youtube yang biasa-biasa sudah menjadi popular. Contohnya, ramai artis di Malaysia adalah lahir daripada Youtube. Mereka pada mulanya hanya sekadar berkongsi video mereka secara suka-suka sahaja. Namun setelah mereka mempunyai ramai pengikut, pelbagai peluang terhidang di hadapan mereka.

Anda juga mampu mendapat perkara yang sama jika menggunakan Youtube. Perkara yang penting adalah anda perlu kongsikan video yang bermanfaat, namun tidak terlalu serius. Ia tidak semestinya anda perlu menyanyi, mungkin video yang unik, menarik dan santai untuk orang lain menontonnya, tetapi bermanfaat.

TIP 4: Kerjasama dengan orang popular

Ini mungkin satu kelebihan jika anda melakukannya. Ia umpama tonik segera untuk anda ‘melompat’ dengan lebih jauh walaupun anda baru bermula. Namun, cara ini mungkin sukar dan ia bergantung kepada rezeki anda juga.

Sebelum anda mula menggunakan cara ini, sebaiknya anda sudah mempunyai pengikut anda sendiri sama ada di blog, Facebook dan sebagainya. Malah lebih baik jika orang yang sudah popular itu juga mengenali anda walaupun sekadar melalui Internet.

Anda hanya perlu hubungi mereka dan berbincang apakah yang anda dapat lakukan secara bersama walaupun sekecil-kecil idea. Kelebihan kerjasama sebegini adalah kedua-dua pihak akan mendapat pendedahan (promosi) dengan lebih meluas. Kelebihan bagi anda adalah, pengikut dan peminat mereka akan mula mengenali anda.

TIP 5: Twitter

Selain Facebook, Twitter juga adalah ‘alat’ yang kerap digunakan oleh orang-orang popular untuk berkongsi sesuatu terutama cerita semasa mereka. Twitter lebih mudah digunakan kerana anda hanya perlu menulis ayat yang pendek sahaja. Gunakan Twitter untuk memberikan maklumat, info, pendapat dan sebagainya secara ringkas. Tulis juga perkembangan semasa anda yang terkini.

TIP 6: Konsisten

Apa sahaja cara yang anda gunakan seperti yang dinyatakan di atas, anda perlu konsisten melakukannya jika anda benar-benar serius mahu menjadi popular. Usaha yang konsisten adalah amat penting terutama di peringkat awal usaha anda. Salah satu cara untuk kekal konsisten adalah dengan melakukan perancangan yang lengkap untuk jangka masa panjang.

TIP 7: Kreatif dan unik

Boleh dikatakan banyak perkara telah diketahui oleh kebanyakan orang terutama di Internet. Cuma mereka akan mengambil tahu kembali perkara itu apabila ia disampaikan dengan cara yang berbeza. Elakkan melakukan sesuatu yang sama seperti orang lain lakukan untuk mengelakkan peminat anda mula hilang minat. Keunikan anda akan memastikan anda adalah lain daripada yang lain, bukan seorang “copy & paste” semata-mata.

NOTA PERINGATAN
  • Tiada jalan singkat untuk berjaya. Lakukan sesuatu usaha yang tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang.
  • Elakkan publisiti murahan yang boleh menjatuhkan maruah kita.
  • Jadikan kedudukan popular kita sebagai kelebihan untuk kita berikan kebaikan kepada manusia sejagat.
  • Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jaga kata-kata kita agar tidak mengguris hati orang lain.
  • Apabila sudah popular, jangan lupa asal-usul diri.
Terima kasih kerana sudi membaca diblog ini!

No comments:

Post a Comment