12 July 2014

Tanda DENGGI & Cara Pencegahan

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Semua....

Semenjak akhir-akhir ni kes diserang Denggi semakin meningkat. Jadi saya nak ingatkan pada sahabat-sahabat semua termasuk diri saya perlu ambil masa 10-15 minit seminggu membersihkan persekitaran kawasan luar & dalam rumah kita yang boleh membuatkan  nyamuk denggi semakin membiak. 



TANDA DAN GEJALA
  • Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.
  • Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.
  • Demam ini boleh mencapai suhu 40 - 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai "breakbone fever".
  • Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
  • Muntah dan kurang selera makan.
RAWATAN
  • Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
  • Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
  • Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
  • Mandi jerlum.
  • Antibiotik tidak diperlukan.
PENCEGAHAN


Pada masa sekarang tiada vaksin untuk mengubati demam denggi. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang dijalankan untuk menghasilkan vaksin tersebut.

Elakkan gigitan nyamuk dengan:
  • Gunakan ubat nyamuk.
  • Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan 'repellent' jika perlu.
  • Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.
  • Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.
  • Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:
  • Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
  • Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.
Jika anak anda disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak anda segera ke hospital/klinik jika:
  • Muntah berlarutan/berpanjangan.
  • Sakit perut.
  • Kurang bermaya/sawan.
  • Sesak nafas.
  • Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.
  • Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.

No comments:

Post a Comment